Husnul-Khatimah bermaksud mati dalam Islam. Sebagai seorang muslim haruslah selalu memohon agar Allah S.W.T mewafatkan kita dalam Husnul-Khatimah, kerana syaitan terkutuk akan berbisik dan berkata: "Aduh! Orang yang memohon Husnul-Khatimah itu telah mematahkan tulang belakangku. Celaka, bilakah ia mahu membanggakan amalannya. Aku khuatir ia telah tahu tipu dayaku."
Hendaklah kita memperbanyak mengucapkan kepujian dan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat islam yang diberikanNya. Sebab nikmat Islam itu adalah setinggi-tinggi nikmat dan sebesar-besarnya. Bencana bagi orang yang diberikan dunia dan isinya oleh Allah tetapi tidak dikurniakan Islam. Bila mati, tempatnya adalah neraka. Sebaliknya pula, jika Allah memberikan islam dan tidak memberikan dunia, itu tidak membahayakan. Matinya orang ini, tempatnya adalah di syurga.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa gerun dan takut akan Suul-Khatimah, kerana tidak mustahil Allah akan merubah hati hambaNya. Dia memberi petunjuk kepada yang siapa yang Dia sukai, dan menyesatkan pula siapa yang Dia sukai.
Dari hadis sahih, Rasulullah S.A.W:
"Bahwasanya Dialah Tuhan, tiada Tuhan melainkan Dia. Adalah seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dengan syurga tu hanya sehasta sahaja, tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan amalan ahli neraka, maka ia akan masuk ke dalam neraka. Dan adalah seseorang kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka itu hanyalah sehasta sahaja., tiba-tiba kitabnya telah mendahuluinya, lalu ia pun beramal dengan ahli syurga, maka ia akan masuk syurga."
Huraian hadith:
Hadith diatas menggerunkan ahi taqwa dan orang-orang yang lurus perjalanannya dan orang-orang yang sering cuai dan keliru dalam urusan agamanya.
Sebahagian orang soleh berkata: Demi Allah, tiada seorang pun akan terselamat dari agamanya, kiranya ia akan dipesongkan Allah, nescaya ia akan terpesong. Menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kebimbangan kalu-kalu mereka dimatikan dalam Suul-Khatimah, meskipun amalan mereka sudah cukup dan dosa mereka amat sedikit.
Seorang soleh berkata kepada rakan-rakannya: Apabila tiba ajalku kelak, hendaklah kamu duduk dikepalaku dan memerhatikan kiranya aku mati dalam islam atau tidak. Jika kamu dapati aku mati dalam islam, maka sedekahkanlah segala hartaku. Jika kamu dapati aku mati selain islam, maka hendaklah kamu memberitahu orang yang ingin menyembahyangkan jenazahku supaya mereka mengetahui keadaan matiku sebelum menyembahyangkanku.
Sebelum itu orang soleh tersebut telah mengajarkan bagaimana mereka boleh membezakan antara kedua mati itu. Berkata rakannya, setelah orang soleh itu meninggal dunia, Aku mendapatinya mati dalam islam! Maka ia pun melaksanakan wasiat orang soleh itu dengan bersedekah harta orang soleh itu.
Rujukan dari Kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman
Penulisan oleh: Imam Habib Abdullah Haddad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment