Monday, March 22, 2010

Senaman bentuk tubuh menggiurkan..meningkatkan stamina?

Senaman bentuk tubuh menggiurkan..meningkatkan stamina?
KETIKA berkunjung ke sebuah pusat kecergasan, sekumpulan wanita pertengahan usia sedang melakukan senaman, tetapi teknik senaman ini lebih kepada tarian menggoyangkan perut, pinggul dan dada.

Di pinggang mereka terdapat skaf berjurai syiling dan berbunyi mengikut nada yang sama, apabila otot masing-masing bergerak mengikut alunan muzik padang pasir. Malah, sesiapa juga yang mendengar irama ini pasti akan turut bergoyang dek keasyikan mendengar alunan irama yang cukup membuai perasaan ini.

Di negara ini, tarian gelek belum cukup terkenal, tidak seperti mana negara Timur Tengah. Ini kerana ada andaian mengatakan tarian ini begitu seksi dan sensual sifatnya terutama apabila dilihat lelaki. Di Timur Tengah, tarian gelek dikenali sebagai tarian oriental yang hanya dilakukan wanita untuk menyambut upacara kesuburan atau persiapan pernikahan dan dijadikan alat untuk menggoda lelaki.

Tarian gelek ini menunjukkan kesensualan, kecantikan dan kelembutan seorang wanita pada setiap gerakannya yang menggoyangkan bahagian pinggul, dada dan perut diiringi irama yang begitu mengasyikkan.


Pergerakan tarian gelek ini sangat bertenaga dan menarik. Setiap gerakan mengajak tubuh, fikiran dan semangat bersatu kemudian lahirlah kekuatan dari dalam diri yang dipersembahkan dalam bentuk tarian. Menurut pengajar tarian gelek daripada gimnasium Pusat Kecergasan Wanita, Az-Zahrah Bangi, Rafidah Othman, tarian gelek mempunyai banyak kebaikan terutama bagi yang ingin mengecilkan bahagian tertentu.

Rahsia tarian gelek adalah pada pergerakan di bahagian dada, perut dan pinggul yang penuh seni. "Melakukan tarian gelek dalam masa 15 hingga 30 minit cukup untuk melatih daya tahan fizikal. Selain itu, tarian ini boleh meningkatkan kekuatan, kelenturan, keseimbangan dan kelincahan pada otot perut, pinggang, pinggul serta kaki. "Selain membentuk otot perut, tarian ini boleh membantu membentuk pinggul idaman, melindungi organ dalaman, melancarkan peredaran darah, selain membakar lebihan lemak yang berkumpul pada bahagian perut," katanya.


Selain itu, ramai tidak tahu tarian gelek sangat bagus untuk kekuatan organ dalaman terutama bagi wanita yang sudah mendirikan rumah tangga. Ini kerana pergerakan pada bahagian otot seperti perut, paha dan pinggul turut membantu pengawalan pada organ seks seterusnya menambah kekuatan dalaman sekiranya tarian ini kerap dilakukan.

"Dalam erti kata lain, selain menyihatkan badan, ia turut membantu menambah kekuatan tenaga seksual. Jadi tidak hairan mengapa wanita di Timur Tengah menjadikan tarian ini sebagai aktiviti harian mereka. "Di Indonesia pula, tarian ini sangat terkenal, malah menjadi senaman paling diminati kini," katanya.


Menurut Rafidah, sesiapa juga boleh melakukan tarian gelek bermula daripada usia 15 tahun sehingga 50 tahun. Namun, pergerakan setiap tarian adalah mengikut kemampuan dan bukannya paksaan. Gerakan tarian gelek tidak boleh dibuat secara melulu bagi mengelak kecederaan.


"Sebelum memulakan latihan, penari harus melakukan latihan gelekan pinggul dalam gerakan nombor lapan kemudian barulah mereka boleh memahirkan diri dengan teknik 'two lift and two down' juga menggunakan pinggul sebelum dapat mengawal gerakan gelekan," katanya.

Jelas Rafidah, pelengkap tarian gelek tentunya pada pakaian yang berwarna terang bersama sehelai tali pinggang yang dipenuhi juraian manik dan duit syiling. Namun, untuk bersenam seseorang tidak perlu memakai pakaian sebenar seperti penari Timur Tengah, cukup sekiranya pakaian itu selesa dan sesuai untuk melakukan pergerakan. "Di gimnasium ini semua wanita dimestikan memakai juraian skaf dikelilingi syiling pada pinggang sebagai fokus kepada gerakan pinggang dan agar senaman menjadi lebih menarik.

"Bayangkan apabila menari, alunan muzik diiringi bunyian syiling tentunya ia lebih menarik dan menyeronokkan," katanya.


Menurut pengunjung tetap gimnasium, Zamzamhalina Ali, 35, sejak melakukan senaman tarian gelek dan aerobik di gimnasium ini berat badannya mulai menurun daripada 95 kilogram (kg) kepada 65 kg. "Setiap hari saya melakukan senaman aerobik diikuti tarian gelek selama satu jam. Memang sangat berkesan kerana setiap bulan berat badan turun tiga kilogram. "Kali pertama melakukan tarian gelek saya mengalami sakit pinggang dan pinggul. Mungkin kerana belum biasa dan otot saya belum serasi dengan pergerakan dilakukan. "Namun, setelah melakukannya beberapa kali, rasa sakit itu semakin berkurangan ditambah pula dengan rasa seronok," katanya.


Selain senaman, Zamzamhalina tidak mengambil makanan berkarbohidrat seperti nasi. Makanan utamanya diganti dengan biskut, buah-buahan dan sayur-sayuran serta banyak minum air suam untuk membuang kotoran dalam tubuh.


Tambahnya, dengan berat badan sekarang dia menjadi lebih yakin, selesa dan bertenaga. Malah, ibu tiga anak ini semakin bergaya kerana boleh mengenakan sebarang pakaian ketika menghadiri majlis tertentu.

Kebaikan tarian gelek
# Meningkatkan sifat kewanitaan, kesensualan dan kecantikan dari dalam diri wanita.


# Menaikkan kekuatan, kelenturan, keseimbangan dan kelincahan pada otot bahagian perut, pinggang, pinggul serta kaki.


# Meringankan ketegangan dan kekakuan tubuh.


# Dapat bergembira dan menenangkan fikiran.

No comments: