Jika kita tinggal di kawasan kampung atau di kawasan yang berbukit dan
berhutan, ada kemungkinan rumah kita akan di masuki kelawar. Masalah
akan menjadi lebih teruk apabila Kelawar menjadikan rumah kita sebagai
tempat penginapan dan pembiakan mereka.
Perlu diketahui bahawa Kelawar bukanlah sejenis binatang atau makhluk
yang merbahaya. Kadangkala kita terpengaruh dengan cerita-cerita karut
tentang Kelawar ditambah pula dengan rupanya yang menggerunkan
membuatkan kita menjadi fobia dengan binatang yang bernama Kelawar ini.
Kelawar merupakan sejenis binatang mamalia dari kumpulan yang dinamakan
Chiroptera, yang merupakan satu perkataan berasal daripada Greek. Ia
membawa maksud 'Tangan Bersayap'. Terdapat sebanyak 1,240 spesis Kelawar
di seluruh dunia. 70% daripada Kelawar adalah jenis yang menjadikan
serangga sebagai makanan mereka manakala bakinya menjadikan buah-buahan
sebagai makanan. Di negara kita jenis yang makan buah-buahan ini kita
namakan sebagai Keluang
Daripada maklumat di atas ternyata Kelawar tidak membahayakan manusia
malah tabiat mereka yang menjadikan serangga sebagai makanan sebenarnya
banyak membantu industri pertanian apabila kebanyakan serangga yang
menjadi makanan mereka merupakan serangga perosak tumbuh-tubuhan.
Bagi Keluang yang menjadikan buah-buahan sebagai makanan utama mereka,
ia sedikit sebanyak mengganggu para pekebun yang mengusahakan tanaman
buah-buahan apabila hasil buah pekebun dimakan dan dirosakkan oleh
Keluang.
Dari segi penyakit berjangkit bawaan pula, Kelawar mempunyai rekod
membawa penyakit 'anjing gila'. Berhati-hatilah dengan Kelawar yang
bertindak luar daripada kebiasaan seperti berterbangan rendah sekitar
lantai atau duduk rehat di bawah.
Kelawar kadangkala menjadikan rumah kita sebagai tempat penginapan
mereka dan ini mendatangkan masalah besar kerana najis serta air
kencingnya boleh merosakkan dinding serta mendatangkan bau yang sungguh
tidak menyenangkan.
Bau yang melekat pada dinding dan lantai akan menarik serangga perosak
lain dan juga kelawar dari tempat lain. Kewujudan mereka di loteng rumah
kita juga akan menjadikan kita tidak selesa apabila mereka sering
mencakar dan membuat bising di atas sana.
Najis yang berkumpul dan tertinggal di kawasan pendudukan Kelawar akan
menghasilkan sejenis Kulat yang mana spora daripada kulat tersebut boleh
mendatangkan masalah pernafasan pada mereka yang menyedutnya. Masalah
akan bertambah teruk pada mereka yang ada penyakit alahan seperti lelah
dan sebagainya.
Jika keadaan itu berlaku, sudah pasti kita tidak dapat menrima kehadiran
mereka dan sesuatu mestilah dilakukan untuk menghalau mereka daripada
menjadikan rumah kita sebagai sarang tempat pembiakan kelawar. Untuk
menyelesaikan masalh kelawar ini ia melibatkan dua proses utama.
- Menghalau kelawar yang ada daripada rumah kita
- Menghalang kemasukan semula Kelawar ke dalam rumah kita
Kebiasaanya kelawar akan bersarang dikawasan loteng atau bahagian
bumbung di atas rumah kita. Bagi kebanyakan rumah di negara kita
sekarang, bahagian ini adalah di atas siling rumah langkah-langkah
keselamatan perlu diberikan perhatian secukupnya. Sebelum sebarang
tindakan diambil kita hendaklah melakukan pemeriksaan rapi terlebih
dahulu bagi mengenal pasti:
- Kesemua kemungkinan laluan keluar dan masuk kelawar di dalam rumah kita.
- Segala kerosakan yang ada pada kawasan bangunan di mana kelawar jadikan sarang mereka
- Kawasan sebenar di dalam bangunan di mana Kelawar jadikan sarang.
- Berapakah saiz kumpulan kelawar yang bersarang di dalam rumah kita. Ia berbeza daripada sepasang sehinggalah ke ratusan ekor.
- Apakah spesis kelawar yang bersarang di situ.
Pemeriksaan elok di lakukan dua kali pada masa yang berbeza.
- Pada waktu senja di mana Kelawar mula muncul. Ini untuk mengesan kawasan kemasukan dan keluar kelawar tersebut.
- Pada waktu siang di mana kelawar sedang berehat di tempatnya. Ini bagi menentukan keadaan kawasan yang diduduki oleh kelawar tersebut. Adakah runag yang cukup untuk kita melakukan kerja pencegahan dan sebagainya.
Langkah kawalan terbaik adalah dengan menutup segala laluan masuk dan
keluar kelawar dari bangunan kita dan menghalang terus kelawar dari
masuk ke dalam rumah. Sebelum itu, kita perlulah memastikan bahawa tiada
lagi kelawar yang tertinggal di atas loteng bumbung rumah kita dan
kesemua kesan najis serta air kencing kelawar yang ada hendaklah dibasuh
terlebih dahulu.
Kita boleh menutup ruang terbuka pada loteng atau bumbung dengan
menggunakan plastik tebal atau jaring atau apa-apa sahaja yang dapat
menghalang kelawar dari masuk. Jangan lakukan di waktu kelawar masih ada
dan gangguan kita mengakibatkan mereka berterbangan atau jatuh ke
bawah. Elakkan dari terkena gigitan kelawar takut-takut kalau ada
jangkitan penyakit 'anjing gila'.
Jika bukaan ruang loteng atau bumbung rumah kita besar. Kita boleh
gunakan plastik atau jaring yang dipasang pada bahagian atas dan
lepaskan bebas di bahagian bawah. Ini bagi membolehkan kelawar keluar
tetapi menghalangnya masuk selepas itu. Setelah tiasa lagi kelawar, kita
bolehlah menutup terus ruang itu.
Terdapat sejenis bahan kimia yang digunakan bagi menghalau kelawar yang
kita namakan Naphthalene. Kita biasa melihat bahan kimia penghalau ini
digunakan di tandas-tandas dalam berbagai bentuk yang digantung pada
kawasan dalam tandas. Ubat ini digunakan bagi menghalau serangga seperti
lipas.
Bahan ini sebenarnya mampu menghalau kelawar tetapi dengan syarat
kawasan tersebut hendaklah tertutup dan kurang lalauan udara. Ini bagi
membolehkan udara di penuhi dengan bau Naphthalene tersebut dan
seterusnya menghalang binatang dari memasuki kawasan itu. Walau
bagaimanapun ada laporan yang menyatakan ratusan bahan itu diletakkan
pada loteng bangunan seperti sekolah dan lain-lain gagal menghalang
kemasukan kelawar.
Satu lagi cara yang boleh digunakan adalah dengan memasang lampu yang
cerah pada kawasan bersarang kelawar. Jika kawasannya tidak luas dan kos
memasang lampu tidak tinggi, maka ia boleh dijadikan satu cara
mengawal kelawar.
Ada tawaran dan dakwaan bahawa peralatan ultrasonik boleh digunakan dan
berkesan bagi menghalau kelawar dan juga haiwan lain seperti tikus.
Namun secara paraktikalnya masih tiada lagi peralatan seumpama itu yang
mampu menghalang kelawar atau lain-lain haiwan dengan berkesan.
Jika rumah anda tinggi dan besar, dinasihatkan agar anda mendapatkan
khidmat syarikat kawalan makhluk perosak yang bertauliah bagi
menyelesaikan masalah kelawar anda dengan lebih sempurna.
No comments:
Post a Comment