Pada kebiasaannya selepas saya
melakukan rawatan dimana bagi kes-kes tertentu pesakit akan ditinggalkan
sejumlah air yang telah dibaca ayat ruqyah untuk dibuat mandian dan
minum sekurang-kurang dalam tempoh seminggu.
Walaubagaimana pun,
untuk posting kali ini saya ingin kongsikan khasiat dan kesan cuma air
sahaja sudah mampu memberikan kebaikan kepada tubuh badan kita.
Mudah-mudahan info ini dapat memberi manfaat.
INFO:
Setiap kali selepas makan tengah hari mesti mengantuk. Kadangkala rasa tidak larat hendak buka mata..
Sememangnya,
mengantuk selepas makan bukan disebabkan kurang tidur, sebaliknya ia
menandakan kita dahaga dan badan tidak cukup air. Ramai tersilap
menafsirkan keperluan badan terhadap air dengan rasa lapar.
Dahaga
bukan petanda terbaik untuk memberitahu badan memerlukan air kerana
sensitiviti terhadap dahaga semakin berkurang apabila umur meningkat,
terutama pada orang tua. Badan kita hanya boleh mengawal keseimbangan
air hingga satu peringkat tertentu.
Paras garam akan meningkat
apabila simpanan air dalam badan berkurang. Otak akan mengesan perubahan
keseimbangan ini dan memberi isyarat kepada buah pinggang untuk
mengurangkan kehilangan air serta mencetuskan rasa dahaga.
Bagaimanapun,
cetusan rasa dahaga ini berlaku lewat. Biasanya apabila kita berasa
dahaga, badan sudah kehilangan kira-kira dua cawan cecair badan.
Kehilangan ini boleh menimbulkan pelbagai implikasi.
Air adalah
unsur penting dalam badan. Badan lelaki membabitkan 65 peratus air dan
55 peratus bagi wanita. Air bertindak sebagai pelarut, penyejuk,
pelincir dan agen pengangkut nutrien ke seluruh badan.
Kandungan
air dalam badan setiap orang adalah berbeza mengikut kandungan lemak
masing-masing. Secara umumnya, jumlah peratusan air dalam badan orang
yang tidak banyak lemak adalah lebih tinggi. Kira-kira 70 peratus berat
otak, 75 peratus berat jantung, 90 peratus berat paru-paru dan 82
peratus kandungan darah membabitkan air.
Badan mengalami
kehilangan air sepanjang masa iaitu hampir 80 peratus sehari, walaupun
kita tidak aktif. Kehilangan ini berlaku melalui air kencing, najis,
peluh dan pernafasan. Setiap kali menghembuskan nafas, kita kehilangan
air dalam bentuk wap. Jika dikumpulkan, kita mungkin boleh dapat satu
atau dua gelas air yang hilang melalui pernafasan.
Ini sebabnya
pakar kesihatan menyarankan kita minum sekurang-kurangnya lapan gelas
atau satu liter air setiap hari. Sumber air bukan hanya daripada air
minuman kerana ia juga ada dalam makanan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Berapa banyak air yang kita perlukan?
Secara
umumnya setiap orang memerlukan sekurang-kurangnya lapan gelas air atau
satu liter air sehari. Namun, jumlah ini berbeza antara setiap
individu, aktiviti dilakukan dan cuaca tempat tinggal. Tentu saja jika
kita melakukan senaman pada hari panas, kita kehilangan lebih banyak air
melalui peluh.
Air yang keluar ini perlu diganti segera, sama
ada ketika atau selepas bersenam, untuk mengelak masalah kekeringan.
Kehilangan banyak air menyebabkan tekanan darah turun mendadak, bekalan
oksigen ke otak menurun dan jika terlalu serius, ia boleh membawa maut.
Jika
terlalu banyak minum, tidakkah akan berlaku keracunan air? Memang
boleh, tetapi ia jarang berlaku. Sebenarnya sukar bagi orang sihat
mengalami keracunan air. Ia biasanya berlaku pada bayi. Malah, individu
yang alami masalah berat badan berlebihan perlu minum lebih banyak air,
iaitu segelas bagi setiap 11 kilogram melebihi berat badan unggul.
Mereka
yang bercita-cita mengurangkan berat badan juga digalakkan minum banyak
air. Kekurangan air merendahkan kadar metabolisma dan badan tidak boleh
memecah dan menggunakan lemak dengan berkesan. Akibatnya, proses
menurunkan berat badan menjadi lebih sukar.
Masalah retensi air
atau ketidakbolehan badan mengeluarkan air dari pundi kencing menjadi
lebih buruk jika kita tidak mendapat cukup air. Ada kalanya masalah ini
boleh diatasi dengan minum lebih banyak air untuk menggalakkan
pembuangan air berlebihan.
Oleh kerana kebanyakan zat makanan
larut dalam air, mungkin ada yang risau ia dibuang melalui air kencing.
Jangan risau. Masalah ini tidak berlaku kerana buah pinggang kita
mempunyai sistem penapisan yang cerdik. Hanya bahan tidak berguna
dibuang. Semua khasiat makanan diserap ketika dalam usus dan dimasukkan
ke dalam darah untuk diagihkan ke seluruh badan.
Sebenarnya ramai
mengalami masalah kekurangan air tanpa disedari. Malah, ramai juga
berkata tidak mahu kerap berulang ke tandas sebagai alasan untuk tidak
minum banyak air. Tindakan ini sebenarnya meracun diri kerana tanpa air
yang cukup, badan sukar mengeluarkan bahan toksik dan boleh berkumpul
membentuk batu karang.
Tanpa air yang cukup juga, nutrien
daripada makanan tidak dapat diagihkan dengan baik dan menyebabkan lebih
banyak lemak terkumpul dalam badan. Bentuk dan saiz otot turut berubah.
Paling malang , jika kekurangan air meningkatkan paras bahan toksik
hingga membahayakan nyawa.
Kesan kekurangan cecair
Kajian menunjukkan kehilangan dua peratus cecair badan boleh menyebabkan:
Lemah daya ingatan (ingatan jangka pendek)
Sukar membuat kiraan, walaupun yang mudah
Sukar memberi tumpuan terhadap perkara dilakukan terutama pada skrin komputer atau bahan bacaan bercetak
Tekanan darah menurun
Jumlah oksigen yang sampai ke otak berkurang menyebabkan rasa mengantuk
Lesu pada waktu siang
Sakit belakang
Dehidrasi
Sakit kepala
Memperlahankan kadar metabolisma
Meningkatkan risiko kanser usus, pundi kencing dan payu dara
Sendi dan otot mengalami kekeringan
Menyukarkan penyingkiran bahan toksik
Meningkatkan keinginan untuk makan
Darah menjadi pekat
Mudah keliru.
Degupan jantung meningkat
Menjejaskan tindak balas kimia dalam badan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment