Jangan cari alasan. Ramai
pelajar menjadikan lupa sebagai alasan untuk tidak belajar atau membuat
ulangkaji terlalu awal. "Buat apa baca sekarang esok lupa juga". Inilah
kata-kata yang sering diucapkan. Tahukah anda, sebenarnya anda tidak
lupa, cuma anda belum melakukan cukup usaha supaya anda tidak lupa.
Mudah bunyinya bukan??
Sebenarnya wujud perbezaan antara belajar awal dengan belajar waktu musim peperiksaan. Anda
perlu belajar awal untuk menyediakan nota-nota bermutu dan untuk
memahami setiap mata pelajaran dengan sebaik-baiknya. Jangan risau kalau
masih banyak yang anda belum ingat, yang penting telah banyak
tajuk-tajuk yang anda telah faham.
Fahami apa yang dibaca. Memahami
matapelajaran adalah langkah pertama sebelum anda melakukan usaha untuk
menghafalnya. Menghafal bahan yang tidak difahami adalah perbuatan yang
sia-sia. Sekiranya anda belajar awal, anda pasti punya banyak masa dan
berpeluang untuk bertanya kepada guru dan rakan-rakan agar setiap
kekeliruan dapat diatasi sebelum terlambat..
Setelah
anda benar-benar faham, sediakan nota ringkas yang bermutu untuk anda
gunakan setiap kali datangnya musim peperiksaan. Sediakan juga nota-nota
poket dan peta minda bagi memudahkan anda merujuk semula kepada apa
yang telah dipelajari tanpa perlu membelek semula buku-buku asal.
Hafal kata kunci. Ramai pelajar yang mempunyai tabiat menghafal yang buruk. Mereka cuba mengingati keseluruhan ayat yang mewakili fakta.
Contoh fakta:
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.
Otak manusia terbahagi kepada dua hemisfera iaitu otak kanan dan otak kiri.
Pertama
sekali pastikan anda faham apa mesej yang mahu disampaikan kepada anda
dalam fakta tersebut. Keduanya barulah hafal fakta itu, tetapi bukan
menghafal keseluruhan ayat. Hafal hanya perkataan 'dua hemisfera'
yang merupakan kata kunci kepada fakta. Sekiranya anda ingat kata kunci
ini pasti sahaja anda mampu menerangkan kepada orang lain apa maksud
disebaliknya. Sebab itulah anda perlu faham sebelum anda hafal!!
Pecahkan kepada beberapa kumpulan kecil. Sekiranya
anda terpaksa menghafal terlalu banyak fakta, jangan hafal kesemuanya
serentak. Tidak perlu terburu-buru. Pecah-pecahkan fakta-fakta tersebut
kepada beberapa kumpulan kecil dan hafal setiap fakta dalam kumpulan
ini.
Misalnya,
kalau anda ada 15 fakta yang perlu diingat, pecahkan fakta-fakta ini
kepada 3 kumpulan kecil. Setiap kumpulan mempunyai hanya 5 fakta. Baik,
sekarang mana yang lebih mudah dihafal, kumpulan yang 15 fakta atau
kumpulan yang mengandungi 5 fakta? Lihat! mudah-mudahkanlah pekerjaan
anda. Sekali lagi jangan terburu-buru. Mempelajari bahan-bahan akademik
memerlukan kesabaran dan ketekunan yang tinggi.
Sering membuat imbasan. Satu
lagi faktor anda lupa ialah terlalu percaya bahawa anda telah menguasai
tajuk tersebut hanya dengan melakukan sekali ulangkaji. Awal-awal lagi
telah dibuktikan bahawa 80% daripada apa yang telah dipelajari akan lupa
dalam masa 24 jam. Sekiranya anda tidak menyemak semula tajuk tersebut
dalam masa yang terdekat, maka jangan pelik kalau anda terpaksa
mengulang baca keseluruhan tajuk sekali lagi dimusim peperiksaan. Untuk
menjadi seorang pelajar yang efektif, anda perlu melihat seimbas apa
yang telah anda baca dari semasa ke semasa secara sistematik. Petua dibawah boleh digunakan dan terbukti berkesan:
- Imbas 5 minit apa yang dibaca selepas 24 jam.
- Imbas 5 minit lagi selepas 1 minggu.
- Imbas 5 minit setiap 2 minggu.
- Imbas 5 - 10 minit dimusim peperiksaan.
Gunakan teknik-teknik ingatan. Untuk
memudahkan lagi proses mengingati fakta, anda perlu ada kemahiran
tertentu seperti teknik mnemonik, teknik menggambar cara, teknik ceraian
dan pelbagai lagi. Pastikan anda kembali ke sini setiap minggu sebab
pelbagai topik berkaitan dengan ingatan akan dimasukkan dari semasa ke
semasa.
Elakkan dari tidur petang.
Ini lagi satu penyakit. Tidur selepas waktu Asar akan melembabkan otak
anda. Dalam Islam amalan tidur petang sebegini sangat tidak digalakkan.
Oleh itu hentikan tabiat buruk anda ini. Kalau anda letih, tidur sahaja
sebentar selepas solat zuhur, ini sunnah Rasulullah s.a.w. Badan akan
terasa lebih bertenaga untuk belajar diwaktu malamnya nanti.
Ajarkannya kepada orang lain. Cari
peluang untuk mengajarkan apa yang telah anda ketahui kepada orang
lain. Libatkan diri secara aktif dalam perbincangan kumpulan. Hanya
dengan mengajarkannya sahaja anda dapat menguji penguasaan anda terhadap
satu-satu tajuk. Raikan setiap soalan dan hujah daripada rakan.
Galakkan mereka bertanya kepada anda. Hanya dengan cara inilah otak anda
mula bekerja lebih keras untuk mencari jawapan.
No comments:
Post a Comment