Wednesday, April 9, 2014

PENJAGAAN LUKA

PENJAGAAN LUKA

Luka adalah cedera pada kulit sama ada melecet, terkoyak, terpotong atau ulser.

Walaupun berbeza keadaan atau penyebabnya ; penjagaan luka adalah untuk tujuan yang sama iaitu
• Supaya cepat sembuh
• Untuk mengelakkan jangkitan lebih teruk
• Supaya tidak meninggalkan parut atau tidak menyebabkan parut hodoh

Bagaimana menjaga luka ?

Bergantung kepada :
• saiz luka
- luka kecil dan bersih cepat sembuh berbanding luka besar
• penyebab luka
- luka bedah biasanya bersih dan lebih mudah dijaga.
- luka yang kotor misalnya akibat kemalangan perlu dibersihkan sebaiknya mengelakkan jangkitan
- luka jangkitan seperti bisul, nanah perlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan ia merebak
• kedudukan luka
- luka di bahagian yang sukar dilihat atau dicapai memerlukan orang lain membantu dalam penjagaan luka
- luka di tapak kaki atau belakang badan seperti ulser perlu dijaga rapi kerana tekanan berpanjangan pada bahagian tersebut boleh menyebabkan luka lambat sembuh dan berulang-ulang
• keadaan fizikal individu yang mengalami luka
- obesiti, kencing manis dan penyakit daya ketahanan rendah boleh melambatkan penyembuhan luka

Komplikasi luka :
• lambat sembuh
• jangkitan pada luka
• sepsis ( jangkitan merebak)
• parut

Apa perlu dilakukan ?

Secara umum :
• Menjaga kebersihan diri dan sekitaran
• Pemakanan yang sihat
• Pengawalan berat badan
• Memastikan tubuh berada pada tahap kesihatan optimum
• Kawal paras gula bagi pesakit kencing manis

Secara khusus :
• Memastikan bahagian luka sentiasa bersih dan dirawat dengan betul ( lakukan ‘dressing’ atau rawatan cuci luka)
• pastikan bahagian luka cedera atau jahit sentiasa kering terutama 24 jam pertama
• jika diberikan ubat sapuan ( krim) : cuci luka terlebih dahulu dengan air bersih atau saline, kemudian sapukan ubat (krim) antiseptik atau antibakteria dengan nipis ( bagi membolehkan pengudaraan di bahagian luka dan membantu luka kering)
• jangan usik bahagian luka yang mula mengering; misalnya cuba untuk mencungkil parut kering atas luka (‘scab’) kerana ini mungkin boleh menyebabkan luka atau jangkitan semula dan luka akan lambat sembuh
• luka jahit dan luka bedah perlu sentiasa diperiksa untuk memastikan tidak ada jangkitan atau jahitan yang terbuka. Antara tanda-tanda jangkitan kuman adalah : terdapat lelehan cecair atau nanah daripada bahagia luka, kulit sekitar bahagian tersebut merah dan bengkak, luka seperti terbuka, bertambah sakit dan kemungkinan demam
• jika luka dibalut : tukar balutan setiap hari atau apabila menjadi basah/kotor
• habiskan antibiotik jika diberi oleh doktor

No comments: