MELEPASKAN GADAIAN (DISCHARGE OF CHARGE)
Lebih kurang 2 bulan lepas, saya meluaskan skop bidang saya
dalam Hartanah kepada satu proses yang dikenali sebagai “PROSES MELEPASKAN
GADAIAN”. Mungkin ada yang sudah biasa dengan terma tersebut, namun jangan
terkejut sekiranya saya katakan ada juga yang tidak ada pengetahuan langsung
tentang PROSES tersebut.
Definisi PROSES:-
Satu proses yang WAJIIB dibuat selepas kesemua hutang pada
bank atau institusi di mana peminjam membuat pinjaman perumahan telah
dilangsaikan oleh peminjam. {Selesaikan
hutang hartanah dengan bank – Buat PROSES MELEPASKAN GADAIAN}.
Dokumen yang terlibat dalam PROSES:-
- Hartanah mempunyai Geran-Peguam yang dilantik akan menyediakan BORANG KANUN TANAH NEGARA 16N (Borang Melepaskan Gadaian). Selain dari borang tersebut, Borang Penukaran Nama juga mungkin terlibat sekiranya bank sudah bertukar nama. Borang-borang yang sudah disediakan akan kemudiannya di bawa ke pejabat tanah berkaitan untuk didaftar MELEPASKAN GADAIAN.
- Hartanah tidak mempunyai Geran-Peguam yang dilantik akan menyediakan “DEED OF RECEIPT AND REASSIGNMENT”. Setelah ditandatangani oleh kedua-dua pihak iaitu peminjam dan bank, DRR akan dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk proses PEMBATALAN. Untuk hartanah jenis ini, PROSES MELEPASKAN GADAIAN tidak melibatkan pejabat tanah. Peguam perlu memberikan satu salinan DRR kepada pemaju setelah pembatalan dibuat untuk rekod mereka.
Peguam:-
Semua Peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam sama ada
bank panel ataupun tidak, boleh membantu anda menjalankan PROSES tersebut.
Kos Peguam:-
Bayaran guaman yang sudah pun diperuntukkan oleh
peguam-peguam dalam SRO untuk PROSES tersebut adalah RM300.00 (tidak termasuk
6% GST). Perlu diingat, pasti akan ada kos tambahan contohnya bayaran carian
tanah, bayaran setem ke atas dokumen-dokumen yang terlibat, bayaran pendaftaran
kepada pejabat tanah/bayaran pembatalan dokumen di mahkamah dan lain-lain
bayaran…
Q & A yang selalu saya alami:-
Q- Saya sudah selesaikan hutang dengan bank kenapa perlu
ada PROSES lain yang memerlukan saya mengeluarkan wang tambahan?
A- Mungkin ramai yang terlupa, apabila kita membuat
pinjaman perumahan dengan bank, geran dan/atau semua dokumen Asal dipegang oleh
bank dan hanya akan dilepaskan oleh bank sekiranya hutang dilangsaikan. Namun
begitu, perlu diingat, di atas geran tersebut masih lagi terdapat nama bank dan
sekiranya kita ingin membuat transaksi lain ke atas hartanah tersebut satu hari
nanti, contohnya jual beli hartanah, pihak yang terlibat akan menyangka
hartanah masih ada hutang (menimbulkan kekeliruan). Peguam kemudiannya tetap
perlu menjalankan PROSES MELEPASKAN GADAIAN dan secara tidak langsung
menambahkan masa proses jual beli anda. Perlu diingat, kos guaman tetap perlu
dibayar dan kemungkinan besar dan bertambah mengikut peredaran masa.
Q- Adakah kamu panel kepada bank?
A- Kami bukan panel bank. Namun itu tidak menghalang kami untuk memberikan khidmat untuk PROSES MELEPASKAN GADAIAN. Semua
Peguam yang berdaftar dengan Majlis Peguam sama ada bank panel ataupun
tidak, boleh membantu anda menjalankan PROSES tersebut. Terpulang kepada
anda untuk memilih peguam yang cekap dan berdedikasi.
Selamat membaca.
sumber : http://salsalim.blogspot.com/2012/06/lebih-kurang-2-bulan-lepas-saya.html
No comments:
Post a Comment