Monday, August 6, 2012

Tip-tip asas untuk Pembeli Hartanah/Rumah


Salah satu soalan yang sering di ajukan kepada saya oleh Pembeli Hartanah/Rumah ialah ”Saya ingin membeli rumah, apa yang perlu saya lakukan? Dan apa yang perlu saya ketahui untuk melindungi hak saya?

Kita tidak boleh menafikan soalan-soalan seperti ini kerana tidak semua masyarakat kita terdiri daripada golongan professional yang sering terdedah dengan hal-hal yang berkaitan dengan urusan jual beli rumah. Namun kekurangan pengetahuan tersebut tidak sepatutnya menghalang kita daripada melibatkan diri dengan urusan jual beli Hartanah/Rumah sama ada untuk tujuan pelaburan ataupun kegunaan sendiri.

Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi dengan semua pembaca-pembaca blog ini dengan tip-tip penting untuk para Pembeli Hartanah/Rumah.


Memastikan Pemilikan/Ketuanpunyaan Hartanah/Rumah yang hendak di beli


Tip ini merupakan tip yang paling penting dan perlu dititik beratkan oleh Pembeli sebelum Pembeli mengambil keputusan untuk membeli Hartanah/Rumah dan bertindak membayar sebarang deposit kepada Penjual. Pembeli perlu sentiasa berpesan kepada diri sendiri untuk bertanya kepada Penjual/Agen Hartanah, “Benarkah Penjual merupakan pemilik berdaftar Hartanah/Rumah mempunyai geran) / pemilik benifisial (Hartanah/Rumah tidak bergeran) kepada Hartanah/Rumah yang hendak di beli?”. Seksyen 92 dan 340 Kanun Tanah Negara dengan jelas menyatakan bahawa pemilik berdaftar mempunyai hak mutlak dan tidak boleh disangkal untuk menjual/menggadai/memajak Hartanah/Rumah yang dimilikinya. Saya menasihatkan Pembeli untuk tidak segan dan takut bertanya tentang perkara penting ini untuk mengelakkan sebarang penipuan dan penyesalan.

Memastikan Keadaan fizikal Hartanah/Rumah

Sebelum Pembeli benar-benar yakin hendak membeli sesebuah Hartanah/Rumah, di nasihatkan agar Pembeli memastikan keadaan fizikal Hartanah/Rumah yang hendak di beli itu berada dalam keadaan yang baik dan boleh berfungsi. Jika ada peralatan atau bahagian rumah yang munasabah untuk di baiki oleh Penjual, Pembeli perlu memberitahu Penjual dan meminta Penjual membaiki peralatan yang di dapati rosak dan tidak berfungsi. Juga lebih baik sekiranya Penjual boleh mengakujanji untuk memperbaiki kerosakan dalam bentuk hitam putih. Jika Penjual berhasrat untuk menjual Hartanah/Rumah bersama-sama dengan beberapa perlatan elektrik atau perabot, adalah elok sekiranya senarai peralatan elektrik dan/atau perabot disediakan dan dikepilkan bersama-sama dengan surat pengesahan membeli. Senarai dan surat tersebut kemudiannya perlu diserahkan kepada Peguam yang menyediakan Perjanjian Jual Beli supaya Peguam tahu bahawa Hartanah/Rumah yang dijual oleh Penjual adalah termasuk peralatan-peralatan yang di senaraikan.

Memastikan kelayakan pinjaman

Senario yang biasanya kedengaran pada masa kini ialah, Pembeli akan membuat pembayaran earnest deposit dan kemudian barulah membuat permohonan pinjaman permohonan. Langkah ini memang betul kerana salah satu keperluan untuk membuat permohonan pinjaman perumahan adalah Pembeli sekurang-kurangnya memiliki booking resit/surat pengesahan membeli. Namun begitu saya secara peribadi berpendapat, Pembeli akan lebih bijak sekiranya mengambil tindakan awal untuk memastikan bahawa Pembeli layak untuk mendapat pinjaman perumahan untuk membeli Hartanah/Rumah pada harga belian yang ditawarkan oleh Penjual. Saya percaya pada masa kini terdapat ramai konsultan-konsultan pinjaman perumahan yang boleh membantu dan menjawab segala pertanyaan Pembeli berkaitan pinjaman perumahan termasuk lah kelayakan untuk mendapatkan pinjaman. Tip ini penting kerana selalunya, apabila Pembeli telah memberikan earnest deposit dan pinjaman perumahan pula tidak diluluskan, Penjual tidak akan memulangkan earnest deposit tersebut ataupun mungkin Penjual akan memulangkan separuh sahaja dari earnest deposit tersebut, melainkan Penjual bersetuju untuk memulangkan earnest deposit sepenuhnya dalam keadaan di mana pinjaman perumahan Pembeli tidak di luluskan dan perkara tersebut di nyatakan dengan jelasnya di dalam booking resit/surat pengesahan membeli.

Pembayaran baki deposit pada hari Perjanjian Jual Beli di tandatangani

Saya ingin menasihati Pembeli untuk hanya membuat pembayaran baki deposit pembelian Hartanah/Rumah pada hari Perjanjian Jual Beli di tandatangani. Ini kerana, dengan menandatangani Perjanjian Jual Beli, peguam yang di lantik telah pun menjalankan tugasnya untuk memastikan pemilikan dan ketuanpunyaan Hartanah/Rumah yang di beli, Penjual seruis dalam menjalankan urusan jual beli Hartanah/Rumah tersebut dan kedua-dua Pembeli dan Penjual sedar tentang tanggungjawab dan hak masing-masing dalam urusan jual beli yang bakal mereka lalui.

Perlantikkan Peguam

Dalam sesuatu urusan jual beli Hartanah/Rumah, Pembeli berhak untuk memilih Peguam yang bakal bertindak bagi pihaknya sepanjang urusan jual beli Hartanah/Rumah. Peguam yang di lantik oleh Pembeli tidak boleh dalam masa yang sama juga bertindak bagi pihak Penjual. Penjual mempunyai pilihan sama ada hendak melantik Peguam ataupun tidak. Pembeli di nasihatkan untuk melantik Peguam sebaik-baiknya sebelum Pembeli membuat pembayaran earnest deposit. Peguam boleh menasihatkan Pembeli dalam perkara-perkara yang melibatkan undang-undang dan memberikan keterangan ringkas tentang prosidur-prosidur yang terlibat dalam urusan jual beli Hartanah/Rumah.
Saya amat berharap agar pembaca-pembaca blog yang bercadang untuk membeli Hartanah/Rumah untuk tujuan pelaburan atau kegunaan sendiri mendapat sedikit sebanyak maklumat dan panduan daripada tip-tip yang di berikan di atas. INSYAALLAH, saya akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki atau menambahkan tip-tip penting untuk para Pembeli dari masa ke semasa.

sumber :http://salsalim.blogspot.com/2009/06/tip-tip-asas-untuk-pembeli.html

No comments: