Monday, August 6, 2012

Tuntutan Harta Pusaka


    Tuntutan Harta Pusaka

Salam semua, di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk menulis satu artikel berkenaan tuntutan harta pusaka untuk blog Puan Salmiah. Apakah itu harta pusaka? Harta pusaka adalah harta peninggalan seorang ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Contohnya apabila bapa kita telah meninggal dunia, dia mempunyai harta seperti satu bidang tanah, satu biji kereta dan sejumlah wang tunai di dalam akaun bank. Ini semuanya di anggap sebagai harta pusaka.

Dalam artikel ini saya tidak akan menyentuh bab pembahagian mengikut faraid - itu merupakan persoalan untuk dibincang pada hari yang lain, mungkin Puan Salmiah boleh bagi input yang lebih informatif. Artikel ini akan menceritakan tentang prosedur asas menuntut harta pusaka.

Setelah seseorang itu meninggal dunia, segala urusan berkaitan dengan harta arwah tergantung oleh kerana arwah tidak lagi boleh memasuki sebarang kontrak atau perjanjian. Harta seperti rumah masih boleh diguna oleh waris tetapi nama di atas geran masih nama arwah dan ini akan menyulitkan keadaan jika harta itu mahu dijual atau mahu refinance. Sama juga dengan kereta, masih boleh dibawa tetapi apabila hendak memperbaharui cukai dan insurans akan membawa masalah.

Jadi waris arwah hendaklah menyenaraikan semua harta arwah (termasuk hutang-hutang) untuk diuruskan. Jumlah harta boleh menentukan cara pengurusan harta tersebut. Terdapat 3 senario:

  1. Jika senarai harta itu melibatkan tanah dan wang tunai melebihi RM600,000 maka urusan hendaklah dikendalikan di Mahkamah dan perlukan khidmat peguam.
  2. Jika senarai harta hanya melibatkan wang tunai sahaja, contohnya simpanan ASB atau KWSP, tidak kira apa jumlahnya ia juga perlu dikendalikan di Mahkamah.
  3. Jika senarai harta itu melibatkan wang tunai dan tanah tetapi tidak melebih RM 600,000 maka urusan boleh dikendalikan di Pejabat Tanah berdekatan sahaja. Urusan di Pejabat Tanah tidak memerlukan khidmat peguam, tapi saya galakkan waris untuk mendapat khidmat peguam untuk memudahkan urusan.
Khidmat guaman untuk menguruskan tuntutan harta pusaka bergantung kepada nilai keseluruhan harta. Secara lazimnya peguam akan mengenakan bayaran mengikut peratusan dari nilai keseluruhan harta.

Bagaimana dengan Amanah Raya? Saya pasti ramai pernah dengar peranan perbadanan separa kerajaan ini dalam tuntutan harta pusaka. Sebenarnya Amanah Raya dan peguam memainkan peranan yang sama. Mereka boleh membantu dan mewakili waris dalam urusan di Mahkamah.

Bezanya antara Amanah Raya dan peguam adalah kadar bayaran yang dikenakan. Kadar bayaran perkhidmatan Amanah Raya boleh disemak di websitenya. Untuk mengetahui kadar bayaran yang dikenakan oleh peguam boleh tanya dengan webmaster kita Puan Salmiah.

Setakat ini sahaja artikel kita tentang tuntutan harta pusaka pada hari ini, nantikan sambungannya pada masa akan datang Insya Allah. 

sumber : http://salsalim.blogspot.com/2011/05/tuntutan-harta-pusaka.html

No comments: